PARAMESWARA
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhLeh1dhoqRl-vfc8g-tqjXcvv2foYHCkc36b1KM9wEV9bUaGF-Ea64o3HO1V7ubSj5qlEiSwq7hJoI6D1ShyphenhyphenRbxqPILrxpgffk97h__cVJpSiH0VqXW4yQF1DmMi1f3N48LHYjQ_1DfGtE/s1600/p464ebb17aec2b.jpg)
Parameswara Pengasas Kesultanan Melayu Melaka.
Para sejarawan berstuju bahawa pengasa Kesultanan Melayu Melaka iaiah Parameswara. Melaka diasaskan oleh Parameswara pada sekitar tahun 1400.
Kedatangan Parameswara
Selepas kejatuhan kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang, muncul pula kerajaan Majapahit. Kerajaan ini telah berjaya menguasai kawasan-kawasan Srivijaya termasuk Palembang dan Temasik. Penguasaan Majapahit ditentang oleh raja Palembang dan puteranya, Parameswara. Parameswara berusaha membebaskan Palembang daripada Kerajaan Majapahit. Walau bagaimanapun, raja Majapahit bertindak segera dengan menyerang Palembang. Parameswara bersama-sama dengan pengikutnya telah berundur ke Temasik.
Di Temasik, Parameswara dan pengikutnya telah disambut baik oleh pemerintah Temasik iaitu Temagi. Temasik pada ketika itu berada di bawah naungan Siam. Parameswara dapat menjangka bahawa Temasik akan berkembang maju.
Wawasan Parameswara ini adalah berdasarkan kedudukan Temasik yang strategik. Parameswara berusaha menuntut hak pertuanannya untuk menjadi pemerintah Temasik kerana Temasik pernah menjadi naungannya. Setelah membunuh Temagi, Parameswara berusaha memajukan Temasik supaya kegemilangan kerajaan Srivijaya dapat diwujudkan semula.
Pembunuhan Temagi oleh Parameswara menyebabkan kerajaan Siam ingin menuntut bela dan kerajaan Majapahit cuba untuk menaklukinya. Untuk mengelakkan serangan daripada kerajaan Siam dan Majapahit, Parameswara bersama-sama dengan pengikutnya meneruskan perjalanan melalui Sening Ujung dan Bertam menuju ke utara. Mereka tiba di sebuah perkampungan nelayan. Penduduknya terdiri daripada orang Melayu, Orang Laut, dan Orang Asli. Parameswara berpendapat bahawa kedudukan tempat tersebut amat baik kerana berhampiran dengan laut yang menjadi tempat laluan kapal dagang. Bekalan air bersih juga mudah diperoleh.
Selain itu, bentuk muka bumi yang berbukit-bukau boleh dijadikan petunjuk bagi pelayar dan memudahkan urusan mengawal Selat Melaka. Pokok bakau dan api-api boleh dijadikan benteng pertahanan dan pelindung semula jadi. Angin monsun pula tidak mengganggu kegiatan perdagangan kerana muara sungainya terlindung daripada tiupan angin tersebut.
ASAL USUL NAMA MELAKA
Berasal daripada Nama Pokok
Menurut Sejarah Melayu, semasa Parameswara sedang berehat di bawah pokok Melaka, Parameswara telah melihat peristiwa pelanduk menendang anjing perburuannya. Peristiwa ini dianggap luar biasa kerana pelanduk yang kecil dapat mengkalahkan anjing. Oleh it, Parameswara menamakan tempat tersebut sebagai Melaka sempena dengan nama pokok Melaka tempat beliau berehat.
Berasal daripada Istilah Arab
Nama Melaka juga dikatakan berasal daripada perkataan Arab. Pedagang-pedagang Arab memanggil Melaka dengan nama "Mulaqah" yang bermaksud pertemuan. Selain itu, Melaka juga disebut sebagai "Malakat" iaitu "perhimpunan segala dagang".
Kegigihan Parameswara Membangunkan Kesultanan Melayu Melaka
Sistem Pemerintahan yang Teratur
Parameswara telah menyusun pentadbiran di Melaka supaya lebih teratur. Beliau telah melantik pembesar yang bertanggungjawab dalam hal ehwal balairung seri, empat puluh orang bentara untuk menjalankan perintah raja, dan biduanda kecil untuk membawa alat-alat kebesaran diraja.
Kemudahan Pelabuhan
Parameswara bijak merancang dan gigih berusaha untuk memajukan Melaka melalui kegiatan perdagangan. Antara kemudahan yang disediakan ialah membaiki kapal, bekalan air bersih dan makanan, tenaga kerja, serta tempat penginapan khusus untuk para pedagang daripada pelbagai bangsa. Semua kemudahan ini penting bagi membolehkan mereka datang berniaga di Melaka.
Hubungan Diplomatik
Sebagai seorang pemimpin yang menitikberatkan keselamatan Melaka, Parameswara telah menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan Siam. Langkah ini dapat mengelakkan Melaka daripada diserang oleh Kerajaan Siam dan seterusnya mengiktiraf kedaulatan Melaka.
Hubungan diplomatik antara kerajaan Melaka dengan China mula terjalin apabila laksamana Yin Ching melawat Melaka pada tahun 1404 dan disusuli dengan lawatan Laksamana Cheng Ho pada tahun 1405 dan tahun 1409. Parameswara memohon perlindungan dari negara China. Melaka menjadi negeri naungan China dan bersetuju menghantar ufti. Kerajaan China telah mengurniakan payung kuning, cap mohor, dan sepersalinan pakaian sebagai tanda pengiktirafan kerajaan China kepada Melaka. Melaka juga menghantar utusan ke China. Hubungan dua hala antara kerajaan Melaka dengan kerajaan China menyebabkan kerajaan Siam dan Majapahit tidak lagi berani mengancam dan menyerang Melaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan